Jumpa mayat ngeri

Banting: Seorang tukang masak tergamam apabila tompokan merah yang disangkanya darah haiwan adalah darah mayat seorang lelaki dalam keadaan mengerikan berhampiran sebuah lombong di Jalan Kampung Lombong, Bandar Saujana Putra, di sini, pagi semalam.
Ketika kejadian jam 7.30 pagi itu, seorang lelaki berusia 26 tahun bersama seorang rakannya melalui kawasan lombong berhampiran kebun kelapa sawit untuk memikat burung.


Setibanya di kawasan itu, dia mendapati ada beberapa kesan tompokan darah di atas jalan, namun tidak mengendahkannya kerana bimbang kerja memikat burung tergendala apabila matahari sudah semakin kelihatan.

Bagaimanapun, selesai memikat burung jam 12.30 tengah hari, dia yang sekali lagi melalui kawasan itu tergerak hati memeriksa dari mana datangnya kesan tompokan darah berkenaan.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila mendapati terdapat mayat lelaki berlumuran darah dan dihurungi lalat di tepi lombong berkenaan sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Nordin Manan berkata, sejurus menerima laporan, sepasukan anggota polis dan unit forensik dikejarkan ke tempat kejadian.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap mayat mendapati terdapat beberapa kesan tetakan di leher hingga belakang badan, lengan kiri dan kanan, dada dan rusuk serta perut mangsa selain kesan kecederaan pada siku kanan.

“Hasil pemeriksaan awal, polis tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa selain tiada kesan suntikan BCG pada lengannya.
“Polis percaya mayat lelaki berbaju-T dan berkain pelekat itu warga Indonesia berusia 40-an,” katanya.

Nordin berkata, hasil pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan kejadian, polis juga tidak menemui sebarang senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa selain tiada sebarang tanda yang mencurigakan.

Katanya, hasil soal siasat dilakukan terhadap saksi juga mengatakan dia tidak ternampak mana-mana kelibat individu atau kenderaan yang mencurigakan ketika melalui kawasan itu pada waktu pagi.

“Polis menyiasat motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya Sehubungan itu katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian atau majikan yang ada kehilangan pekerja diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- MyMetro

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...