PAS Ditolak Bukan Kerana Hudud – Ustaz Kazim Elias



KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Kazim Elias menyatakan penolakkan umat Islam terhadap perjuangan parti PAS bukanlah disebabkan isu hudud yang sering dimainkan oleh mereka, sebaliknya kerana mereka bersekongkol dengan puak-puak komunis serta liberalisme dalam mencapai hajat memegang tampuk pemerintahan negara pada masa akan datang.
PAS yang merupakan salah satu parti komponen dalam barisan pembangkang dilihat lebih minoriti dan sekadar mengikut sahaja telunjuk daripada parti-parti lain sehinggakan isu agama sering dijadikan modal oleh mereka untuk menawan hati pengundi-pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) nanti.
“Orang menolak kamu (PAS) bukan kerana masalah hudud, orang menolak kamu sebab kamu bersekongkol dengan puak-puak komunis dan puak-puak liberalisme,” katanya ketika Forum Isu-Isu Islam dan Umat Islam Menjelang PRU13, di sini, pagi ini.
Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa PAS hanya berani memainkan isu hudud apabila menjelang musim pilihan raya demi kepentingan politik semata-mata.
“Saya merupakan penceramah yang paling konsisten apabila bercakap tentang hukum hudud sejak 23 tahun lalu.
“Hudud akan berkumandang pada tiap-tiap musim pilihan raya di mana hanya untuk memancing orang Islam dan orang Melayu untuk mengundi mereka.
“Jangan main-main dengan hukum Allah Taala, hukum Allah yang tertinggi, jangan kamu rendahkan,” katanya lagi.
PAS juga dilihat mengunakan sentimen sesiapa yang menolak hudud adalah kafir dan hanya merasakan diri mereka saja yang benar dalam perjuangan membina sebuah negara Islam tanpa mengambil kira bidang ekonomi yang patut juga diberi perhatian untuk kelangsungan umat Islam itu sendiri.
“Orang Islam kena kukuhkan bidang ekonomi terlebih dulu, baru Islam itu indah,” jelasnya lagi.
Forum yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan, (NGO) Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) turut dihadiri oleh barisan panel seperti Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Sidek Baba, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan dimoderatorkan oleh Pengerusi PEMBELA, Dr Yusri Mohamad.
Oleh: JULIANA JOHAR
Foto: RIZA RAZAK

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...